Pantun Dua Kerat-Tingkatan 1(2015)





PANTUN DUA KERAT ( Nasihat )

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Pecah kaca pecah gelas,
Sudah dibaca harap balas.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Saya kata ituk, awak kata ayam,
Sudah kena jentik baru nak diam.


Maksud Pantun:


  • Rangkap 1 - Keinginan untuk mendapatkan sesuatu pemberian sekiranya tiada halangan.
  • Rangkap 2 - Orang yang banyak berkata-kata akan melakukan lebih banyak kesilapan.
  • Rangkap 3 - Balasan yang diharapkan daripada penerima surat melalui surat yang diutus.
  • Rangkap 4 - Orang yang tidak berusaha tidak akan memperoleh apa-apa.
  • Rangkap 5 - Pemikiran yang cerdas membuatkan seseorang lebih mudah memahami sesuatu.
  • Rangkap 6 - Tanggungjawab yang harus ditanggung atas perbuatan yang dilakukan.
  • Rangkap 7 - Orang yang terakhir dikehendaki menyiapkan atau membersihkan sesuatu.
  • Rangkap 8 - Orang yang memerlukan sesuatu perlulah menghadirkan diri.
  • Rangkap 9 - Nama seseorang akan tercemar sebagai akibat melakukan perbuatan yang keji.
  • Rangkap 10 - Seseorang itu tidak akan mengulang perbuatan setelah menerima hukuman atau dendaan.


Tema
Nasihat kepada semua lapisan masyarakat agar mempraktikkan amalan baik dalam kehidupan.
 
 
Persoalan

  • Keburukan orang yang banyak bercakap.
  • Orang yang malas berusaha akan hidup susah.
  • Sikap manusia yang hanya sudah ditegur barulah hendak sedar.
  • Berusaha jika mahu mendapatkan sesuatu.
  • Orang yang suka menipu dan mencuri akan dikeji dan dibenci oleh masyarakat.
  • Berani menanggung akibat atau risiko sesuatu perkara yang dilakukan.


 Nilai

  • Keberanian
  • Kerajinan
  • Bertanggungjawab
  • Penghargaan
  • Kejujuran


Pengajaran

  • Janganlah berbohong kerana perbuatan itu sia-sia dan akan memalukan diri sendiri.
  • Kita seharuslah rajin berusaha supaya apa yang dihajati akan tercapai.
  • Orang yang suka menipu atau mencuri akan mendapat balasan yang setimpal.
  • Kita haruslah berani menghadapi sebarang risiko atau dugaan atas perkara yang telah kita lakukan.
  • Janganlah apabila sudah ditegur, barulah kita hendak sedar daripada kesilapan diri. 
  • Kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata supaya apa-apa yang diucapkan benar dan bernas.


Gaya Bahasa


  1. Asonansi - Hati terang senang faham (pengulangan vokal a)
  2. Aliterasi Kumbang jarak kumbang jagung (pengulangan konsonan k)
  3. Imej alam - daun keladi, ikan siakap, durian, cempedak
  4. Repetisi -  Kumbang jarak kumbang jagung, Berani buat berani tanggung. (pengulangan kata dalam baris)
  5. Sinkope - nak
  6. Metafora - hati terang

Comments

Popular posts from this blog

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Simple Essays