Hikayat Seri Kelanatan-Tingkatan 3

Hikayat Seri Kelantan


Prosa tradisional ini mengisahkan negeri Kelantan Purba yang juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung di bawah pemerintahan seorang raja perempuan bernama Encik Siti Wan Kembang. Encik Siti tidak bersuami dan tidak mempunyai anak. Apabila mengetahui bahawa anak raja Jembal mempunyai anak perempuan yang terlalu cantik bernama Tuan Puteri Sa’dung, Encik Siti telah menjadikan Tuan Puteri Sa’dung sebagai anak angkat. Semakin lama dipelihara, semakin cantik rupa Tuan Puteri Sa’dung sehingga banyak orang yang tergila-gila akannya. Apabila Tuan Puteri Sa’dung dewasa, Encik Siti telah mengahwinkan Tuan Puteri Sa’dung dengan anak raja Jembal bernama Raja Abdullah bertujuan mencari pewaris tahta. Setelah berkahwin, Raja Abdullah bergelar Sultan Abdullah dan memerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung. Encik Siti menitahkan Sultan Abdullah mendirikan Kota Jelasin dan Sultan Abdullah memerintah di situ manakala Encik Siti berpindah ke Gunung Ayam dan menjadi raja di situ.
Raja Siam di benua Siam yang besar kerajaannya, telah mendengar berita Tuan Puteri Sa’dung berkahwin dengan Sultan Abdullah, lalu memerintahkan segala raja dan menteri hulubalang di bawah takluk baginda supaya menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana baginda terlalu ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Raja Siam juga menitahkan ahli nujum bernama Tuk Ca untuk turut belayar ke negeri tersebut, utusan raja Siam telah menghadap Sultan Abdullah dan menyampaikan hasrat Raja Siam untuk memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Hal ini telah menyebabkan Sultan Abdullah marah lalu menghalau keluar utusan Raja Siam. Ekoran daripada itu, pasukan tentera Siam telah menyerang Kota Jelasin. Namun, tentera Siam telah tewas kerana kesaktian yang dimiliki oleh Tuan Puteri Sa’dung.

Dengan takdir Tuhan, negeri Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung ditimpa bala kebuluran. Akibatnya, Kota Jelasin telah dikepung oleh tentera Siam kerana rakyatnya melarikan diri. Pada ketika itu, Tuan Puteri Sa’dung berseru sekiranya dia berasal daripada keturunan orang tuha-tuha yang berdarah putih dan bertulang tunggal, akan terangkatlah kota dan istana mahligainya sehingga jatuh di dalam hutan. Setelah itu, seluruh kota dan istana ghaib lalu jatuh ke dalam Cerang Bahana. Tuan Puteri Sa’dung dan rakyatnya membuat negeri di dalam hutan itu yang diberi nama Mahligai. Apabila Kota Jelasin ghaib, raja dan pegawai Siam menaiki perahu untuk berjumpa dengan ahli nujum Tuk Ca. Tuk Ca dengan ilmu nujumnya dapat mengesan pergerakan Tuan Puteri Sa’dung dan melihat mahligai Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah berada di dalam cerang. Kemudian, Tuk Ca memerintahkan mereka terus mengikuti Tuan Puteri Sa’dung menuju ke arah selatan.

Rombongan Raja Siam tiba di cerang besar lalu mengepung mahligai Tuan Puteri Sa’dung. Tuan Puteri Sa’dung tidak dapat melepaskan diri dan semua rakyat telah berpecah-belah, maka baginda mencadangkan agar Sultan Abdullah bertanya kepada Tuk Ca hajat sebenar raja Siam menyerang Kota Jelasin. Tuk Ca memberitahu bahawa Raja Siam sebenarnya tidak berniat untuk menakluk negeri baginda tetapi mahu memiliki Tuan Puteri Sa’dung. Akhirnya, Sultan Abdullah menitahkan isteri kesayangan baginda supaya menurut kehendak Raja Siam kerana mereka tidak mampu menentang Raja Siam dan bimbang negeri mereka akan musnah. Tuan Puteri Sa’dung yang berasa serba salah kerana ingin menjaga maruahnya serta takut dimurkai Sultan Abdullah akhirnya bersetuju dengan kehendak suaminya lalu mengikut Tuk Ca ke Siam. Sultan Abdullah akhirnya kembali ke mahligai baginda manakala Tuk Ca mengarahkan segala raja, menteri, hulubalang dan rakyat Siam kembali ke bahtera untuk belayar pulang ke benua Siam.



Tema prosa tradisional ini adalah keistimewaan seorang puteri yang mempunyai kelebihan luar biasa.
Tuan Puteri Sa’dung mempunyai kelebihan, iaitu rupa paras yang terlalu cantik sehingga Raja Siam ingin memilikinya walaupun sudah berkahwin dengan Sultan Abdullah. Tuan Puteri Sa’dung juga mempunyai ilmu kesaktian, iaitu boleh menjadikan seluruh Kota Jelasin dan mahligainya ghaib lalu terjatuh ke dalam hutan.



i. Merampas hak orang.
Contohnya: Raja Siam sanggup merampas Tuan Puteri Sa’dung walaupun Tuan Puteri Sa’dung sudah berkahwin dengan Sultan Abdullah.


ii. Kasih sayang antara suami dengan isteri.
Contoh:Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung berasa sangat sedih ketika mereka hendak berpisah.

iii. Kepentingan perpaduan dalam mempertahankan negara.
Contoh: Akibat tiada perpaduan Kota Jelasin telah dikepung oleh tentera Siam kerana rakyatnya berpecah-belah setelah dilanda bala kebuluran.

iv. Semangat bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Contoh: Utusan Siam bermuafakat dalam merancang strategi bagi menyerang Kota Jelasin.

v. Taat setia rakyat kepada raja.
Contoh: Rakyat Siam patuh pada perintah rajanya supaya menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana terlalu ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung yang merupakan isteri Sultan Abdullah.

vi. Kepentingan diplomasi dalam menyelesaikan persengketaan.
Contoh: Sultan Abdullah sanggup mengadakan rundingan secara damai dengan Tuk Ca demi menyelamatkan negeri baginda daripada dimusnahkan oleh tentera Siam.



Watak Utama
1. Tuan Puteri Sa’dung
i. Anak perempuan raja Jembal.

ii. Dijadikan anak angkat oleh Encik Siti Wan Kembang.

iii. Dikatakan berasal daripada keturunan orang tuha-tuha yang berdarah putih dan bertulang tunggal.




iv. Mempunyai rupa paras yang sangat cantik.
Contoh: Kecantikannya banyak menyebabkan orang tergila-gilakannya sehingga Raja Siam terlalu ingin memilikinya.

v. Memiliki kesaktian yang luar biasa.
Contoh: Dapat menjadikan seluruh Kota Jelasin dan mahligainya ghaib lalu jatuh ke dalam hutan ketika hendak menyelamatkan diri daripada pasukan tentera Siam.

vi. Sangat sayang akan suaminya.
Contoh: Tuan puteri Sa’dung berasa sangat sedih serta serba salah ketika hendak berpisah dengan Sultan Abdullah kerana sangat sayang akan baginda.

vii. Sanggup berkorban.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung sanggup mengikut Tuk Ca dan menjadi milik Raja Siam demi menyelamatkan negerinya daripada dimusnahkan oleh tentera Siam.

viii. Taat setia akan suaminya.
Contoh: Tuan Puteri tidak membantah cadangan Sultan Abdullah untuk menjadi milik Raja Siam kerana taat akan suaminya itu.

ix. Bijaksana.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung mencadangkan Sultan Abdullah supaya berjumpa dengan Tuk Ca untuk bertanya tentang hajat sebenar raja Siam menyerang Kota Jelasin.

x. Memelihara kehormatan diri.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung tidak sanggup menjadi milik Raja Siam kerana mahu menjaga maruah dan kehormatannya sebagai seorang isteri.

Watak Sampingan
Sultan Abdullah
i. Anak raja Jembal.
ii. Nama asal Raja Abdullah.
iii. Berkahwin dengan Tuan Puteri Sa’dung.
iv. Menjadi pemerintah negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
Contoh: Membina Kota Jelasin atas arahan ibu mentuanya, Encik Siti Wan Kembang.

v. Berpendirian tegas.
Contoh: Sultan Abdullah berasa marah apabila mengetahui Raja Siam ingin memiliki isterinya lalu terus menghalau keluar utusan Siam.

vi. Sangat sayang akan isterinya.
Contoh: Sultan Abdullah berasa sangat sedih apabila terpaksa berpisah dengan isterinya.

vii. Berani.
Contoh: Sultan Abdullah berani bersemuka dengan tentera Siam yang mahu menyerang Kota Jelasin untuk mengetahui sebab mereka mahu menyerang kota itu.

viii. Sanggup berkorban.
Contoh: Sultan Abdullah sanggup menyerahkan isterinya untuk menjadi milik Raja Siam demi menyelamatkan negerinya.

ix. Bijak dalam mengambil tindakan.
Contoh: Sultan Abdullah sanggup berunding dengan Tuk Ca setelah mahligainya dikepung oleh tentera Siam untuk mengelakkan Kota Jelasin musnah.

Tuk Ca
i. Ahli nujum kepada Raja Siam.

ii. Taat setia kepada raja.
Contoh: Tuk Ca turut belayar bersama-sama dengan raja, menteri dan pegawai Siam setelah diperintahkan oleh Raja Siam.

iii. Memiliki kesaktian.
Contoh: Tuk Ca dapat mengetahui tempat persembunyian Tuan Puteri Sa’dung dan Sultan Abdullah berdasarkan ilmu nujum yang dimilikinya.
iv. Bijak dalam mengatur strategi.
Contoh: Tuk Ca mencadangkan pasukan Siam bersiap sedia menuju ke arah selatan agar Tuan Puteri Sa’dung dapat ditangkap.

v. Tenang dalam menyelesaikan masalah.
Contoh: Tuk Ca meminta raja-raja, pegawai dan hulubalang Siam bertenang setelah Tuan Puteri Sa’dung, Sultan Abdullah, dan mahligai ghaib.

vi. Bertolak ansur.
Contoh: Tuk Ca berunding secara damai dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan Tuan Puteri Sa’dung yang ingin dimiliki oleh Raja Siam.

Encik Siti Wan Kembang
i. Raja Perempuan. Memerintah kerajaan Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.

ii. Belum berkahwin dan mempunyai anak. Mengambil Tuan Puteri Sa’dung sebagai anak angkat.

iii. Sangat sayang akan anak angkatnya.
Contoh: Encik Siti terlalu mengasihi anak angkatnya sehingga tidak membenarkan orang lain mendekati Tuan Puteri Sa’dung.

iv. Bijaksana.
Contoh: Encik Siti Wan Kembang mengahwinkan Tuan Puteri Sa’dung dengan Raja Abdullah, kerana ingin mencari pewaris kepada kerajaannya.

v. Bertolak ansur.
Contoh: Encik Siti Wan Kembang berpindah ke Gunung Ayam dan menjadi raja di situ setelah menantunya, Sultan Abdullah menjadi raja di Kota Jelasin.






Latar Masa
i. Zaman pemerintahan kerajaan Kelantan Purba.

ii. 40 hari 40 malam.
Contoh: Persediaan untuk majlis perkahwinan Tuan Puteri Sa’dung dengan Sultan Abdullah diadakan selama 40 hari 40 malam.

iii. Waktu malam.
Contoh: Utusan Siam bermuafakat dengan orang Siam mahu menyerang kota Jelasin kerana Sultan Abdullah tidak mahu menyerahkan Tuan Puteri Sa’dung.

iv. Waktu siang.
Contoh: Raja dan pegawai sebelah Raja Siam menyedari bahawa Istana Kota Jelasin telah ghaib.

Latar Tempat
i. Negeri Kelantan Purba yang dikenali sebagai negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung.
Contoh: Negeri Kelantan Purba diperintah oleh Encik Siti Wan Kembang yang kemudiannya diwariskan kepada Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung.

ii. Kota Jelasin.
Contoh: Kota ini dibina oleh Sultan Abdullah atas perintah Encik Siti.

iii. Cerang Bahana.
Contoh: Tempat dipindahkan Tuan Puteri Sa’dung, Sultan Abdullah, Kota dan istana baginda, dari Kota Jelasin ke Cerang Bahana setelah ghaib akibat doa Tuan Puteri Sa’dung.



iv. Gunung Ayam.
Contoh: Tempat tinggal Encik Siti Wan Kembang setelah Sultan Abdullah menjadi raja di Kota Jelasin.

v. Istana/mahligai.
Contoh: Tempat bersemayam Sultan Abdullah yang dikepung oleh pasukan tentera Siam.

vi. Perahu jong.
Contoh: Sultan Abdullah dengan Tuk Ca mengadakan rundingan dalam perahu jong untuk mengetahui punca sebenar Raja Siam menyerang Kota Jelasin.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat feudal.
Contoh: Rakyat Kelantan mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

ii. Masyarakat penyayang.
Contoh: Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung saling menyayangi dan berasa sangat sedih apabila mereka terpaksa berpisah.

iii. Masyarakat yang taat setia kepada pemerintah.
Contoh: Tuk Ca serta pasukan Siam yang terdiri daripada raja-raja, menteri dan hulubalang sanggup belayar ke negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana menunaikan hasrat Raja Siam yang ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung.

iv. Masyarakat yang sanggup berkorban untuk mempertahankan negara.
Contoh: Sultan Abdullah dan rakyat negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung berperang menentang tentera Siam yang menyerang Kota Jelasin.

v. Masyarakat yang bijak dalam mengambil tindakan.
Contoh: Tuk Ca meminta pasukan Siam bertenang apabila Kota Jelasin ghaib lalu mencadangkan mereka bersiap sedia menuju ke arah selatan agar Tuan Puteri Sa’dung dapat ditangkap.
vi. Masyarakat yang memiliki kesaktian yang luar biasa.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung dapat menjadikan seluruh Kota Jelasin dan mahligainya ghaib lalu berada di dalam hutan.
vii. Masyarakat yang tidak bersatu padu.
Contoh: Rakyat negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung berpecah-belah apabila ditimpa bala kebuluran sehingga menyebabkan Kota Jelasin dikepung oleh tentera Siam.

viii. Masyarakat yang bertolak ansur dalam menyelesaikan persengketaan.
Contoh: Sultan Abdullah sanggup berunding secara damai dengan Tuk Ca demi menyelamatkan kota Jelasin daripada musnah.


i. Bahasa Istana
Contoh: sultan, baginda, titah, murka, ayahanda, bonda

ii. Bahasa Melayu Klasik
Contoh: jemelah, suak, cerang, cetera

iii. Bahasa Arab
Contoh: mustaib, Allah subhanahu wa taala

iv. Dialek Kelantan
Contoh: beroyat

v. Kata Pangkal Ayat
Contoh: maka, alkisah, hatta, sebermula



i. Nilai kasih sayang
Contoh: Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung saling menyayangi dan berasa sangat sedih apabila baginda berdua terpaksa berpisah.
ii. Nilai taat setia
Contoh: Tuk Ca dan pasukan Siam menurut perintah Raja Siam untuk menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana baginda ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung.

iii. Nilai bertolak ansur
Contoh: Sultan Abdullah berunding secara damai dengan Tuk Ca demi menyelamatkan negeri baginda daripada musnah.

iv. Nilai berani
Contoh: Sultan Abdullah berani berperang dengan tentera Siam yang menyerang Kota Jelasin.

v. Nilai cinta akan tanah air
Contoh: Sultan Abdullah sanggup berpisah dengan Tuan Puteri Sa’dung demi menyelamatkan tanah air baginda daripada serangan tentera Siam.

vi. Nilai bermuafakat
Contoh: Sultan Abdullah bermuafakat bersama-sama dengan pegawai baginda dalam membina Kota Jelasin.



i. Kita hendaklah taat setia kepada raja.
Contoh: Tuk Ca dan pasukan Siam menurut perintah Raja Siam untuk menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana baginda ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung

ii. Kita hendaklah sanggup berkorban demi mempertahankan negara.
Contoh: Sultan Abdullah dan Tuan Puteri Sa’dung sanggup berpisah agar negeri mereka tidak musnah oleh serangan tentera Siam.



iii. Kita hendaklah bijak bertindak dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung mencadangkan Sultan Abdullah supaya berjumpa dengan Tuk Ca untuk mengetahui hajat Raja Siam setelah Kota Jelasin diserang oleh tentera Siam.

iv. Kita hendaklah bersatu padu untuk menjaga kedaulatan negara.
Contoh: Akibat rakyat berpecah-belah apabila ditimpa bala kebuluran, Kota Jelasin telah dikepung oleh tentera Siam.

v. Janganlah kita merampas hak orang lain.
Contoh: Raja Siam sanggup menyerang negeri Tanah Serendah Kebun Bunga Cerangtegayung kerana ingin memiliki Tuan Puteri Sa’dung yang sudah berkahwin dengan Sultan Abdullah.

vi. Kita hendaklah bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
Contoh: Tuan Puteri Sa’dung bermuafakat dengan segala hamba suruhannya untuk membina sebuah negeri di dalam hutan yang diberi nama Mahligai.

vii. Kita hendaklah berunding secara damai untuk menyelesaikan sebarang
persengketaan.
Contoh: Sultan Abdullah berunding secara damai dengan Tuk Ca demi menyelamatkan negerinya.


Comments

Popular posts from this blog

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Simple Essays