Sajak Persahabatan-Tingkatan 2

Sajak ( Sumber Buku teks KOMSAS : Antologi Gema Sepi Gadis Genius )
Maksud

I
Seorang kanak-kanak
berbaju kurung nampak cantik
berlesung pipit beralis lentik
bermain-main riang, bermain keseorangan
pada wajahnya meriak gembira
pada bibirnya menguntum ceria
berderai ketawa mengocak suasana.



Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Melayu yang nampak cantik apabila berbaju kurung. Mempunyai lesung pipit dan kening yang lentik. Dia sedang bermain-main keseorangan dalam keadaan keriangan. Di wajahnya menampakkan kegembiraan melalui senyum dan ketawanya.


II
Seorang kanak-kanak
berpakaian ceongsam bertocang dua
bergincu pipi tampak ceria
tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
menghulur senyum dan ketawa manja
pada wajahnya menyerlah keriangan
mereka bermain alang-kepalang
berkejar-kejaran tanpa halangan.

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mengenakan pakaian cheongsam dan mempunyai dua tocang pada rambutnya. Wajahnya menampakkan keceriaan.  Kemudian dia datang bertegur sapa dengan kanak-kanak berbangsa Melayu. Dia menghulurkan senyuman dan ketawa manja yang menyerlahkan keriangannya. Kemudian mereka bermain dan berkejaran bersama-sama tanpa sesiapa yang menghalang.


III
Seorang kanak-kanak
bersari bergelang kaki
bertindik hidung menguntum seri
melihat saja telatah manja
si comel berdua, bermain, dan ketawa
dirinya bagai digamit bermain bersama
mengongsi kemesraan
menterjemah makna kejiranan.


Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang mengenakan pakaian sari, bergelang dan bertindik hidung.  Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain bersama-sama dan berkongsi kemesraan.


IV
Ah, kanak-kanak
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa
mereka saling bersalaman
dan berpeluk mesra
tanpa menghirau adat dan budaya;
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka
bersatu hati membentuk jati diri
ke arah wawasan lebih bererti!

Kanak-kanak yang berlainan agama dan bangsa itu saling bersalaman dan berpeluk mesra. Mereka tidak menghiraukan perbezaan adat dan budaya yang wujud antara mereka. Mereka telah membina hubungan baik antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Wujudnya perpaduan dalam kalangan mereka tanpa rasa prasangka.  Mereka telah bersatu hati membentuk jati diri bagi merealisasikan wawasan negara agar lebih bererti.



Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang perpaduan antara kaum – masyarakat berbilang kaum perlulah bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan.

Persoalan:
·         Hubungan persahabatan yang wujud tanpa mengira kaum dan agama.
·         Keakraban dan perpaduan dapat dicapai tanpa wujudnya rasa sangsi atau curiga antara satu sama lain.
·         Kemesraan dalam perhubungan contohnya kanak-kanak pelbagai kaum bermain bersama-sama dengan riang dang gembira.
·         Sikap ramah mesra tanpa batasan kaum iaitu kanak-kanak berbangsa Melayu terhadap kanak-kanak berbangsa lain untuk bermain bersama-sama. 




Bentuk:
·         Sajak ini terdiri daripada empat rangkap
·         Jumlah baris adalah bebas.
     Contohnya:
Rangkap 1 – ada tujuh baris.
Rangkap 2 – ada lapan baris.               
Rangkap 3 – ada lapan baris.
Rangkap 4 – ada sepuluh baris.
·         Jumlah perkataan antara tiga hingga enam patah kata sebaris.
·         Jumlah suku kata antara lima hingga lima belas suku kata sebaris.
·         Rima akhir bebas.

Gaya Bahasa
Contoh
Personafikasi
bergincu pipi tampak ceria (R2,B3)
Simile
dirinya bagai digamit bermain bersama(R3,B6)
Sinkope
melihat saja telatah manja (R3,B4)
Anafora
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa (R4,B2 – 3)
Responsi
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka (R4,B7 – 8)
Kata Ganda
Seorang kanak-kanak (R1,B1)

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
berlesung pipit beralis lenti(R1,B3)
Aliterasi
biar berlainan bangsa (R4,B3)


Nada: Sajak ini bernada Patriotik.

Nilai:
·         Perpaduan: Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjayakan wawasan negara.
·         Keakraban dalam hubungan persahabatan: Kanak-kanak pelbagai kaum menjalin hubungan persahabatan tanpa timbul rasa curiga.

Pengajaran:
·         Kita hendaklah menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum atau agama.
·         Kita janganlah menyimpan perasaan curiga atau prasangka antara satu sama lain.
·         Masyarakat perlulah bersatu-padu antara satu sama lain bagi menjayakan wawasan negara.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Simple Essays