Sajak Kata-Kata -Tingkatan 3
Sajak | Maksud |
Kalau kita dicerca dengan kata kita diam tak terkata. Pertahankanlah maruah kita lawan kata dengan kata. | Penyajak menggesa supaya kita tidak membisu apabila menghadapi cercaan lisan. Sebaliknya, orang yang dicerca harus melawan balik dengan kata. Maruah perlu dijaga dan dipelihara. |
Kalau mereka mengherdik dengan kata carilah daya kata. Kalah kita jangan kerana putus kata. | Jika orang mengherdik (bercakap dengan bahasa yang buruk atau tidak layak), orang yang dicerca harus menyusun kekuatan kata untuk hujah balas yang bijak. Kita akan dianggap kalah kerana kelu untuk bersuara. |
Ini martabat bangsa kita ini kedaulatan negara kita kita pelihara dengan kepantasan kata daripada kepala. | Kita tidak boleh membiarkan sahaja martabat bangsa dan kedaulatan negara diinjak begitu sahaja. Kita mesti melindungi bangsa dan negara dengan hujah-hujah bernas daripada minda yang hebat. |
Kita merdeka bukan kerana senjata. Kita merdeka kerana bijak kata. | Negara bebas daripada belenggu penjajahan tanpa pertempuran tentera. Negara merdeka justeru pemimpin bijak di meja rundingan, dan rakyat yang bangkit bersuara membela tanah air tercinta. |
Aduhai anakanda Kalau hidup mahu terbela pandailah mengucap kata. | Sebagai penutup sajak, sekali lagi penyajak menegaskan betapa kalau hidup mahu terbela, iaitu tidak diinjak dan ditindas (seperti lembu dicucuk hidung - peribahasa berkaitan), maka kita harus pandai menggunakan kekuatan kata atau hujah yang bernas. |
Tema
Kebolehan berkomunikasi secara lisan amat penting dalam kehidupan.
Dengan kebijaksanaan berkomunikasi, seseorang itu dapat mempertahankan diri daripada dihina oleh orang lain.
Persoalan
1) Kepentingan bijak berbahasa untuk mematahkan hujah lawan.
Kemahiran berhujah membolehkan seseorang mematahkan hujah lawan dengan mudah.
2) Kepentingan menggunakan bahasa dengan baik.
Kesantunan bahasa dapat membentuk jati diri bangsa dan menjulang nama negara.
3) Bahasa merupakan imej sesebuah bangsa dan negara.
Kebijaksanaan berbahasa membolehkan kita memartabatkan bahasa dan mendaulatkan negara.
4) Kemerdekaan yang diperoleh menerusi rundingan.
Sejarah membuktikan negara kita merdeka menerusi rundingan bukannya melalui peperangan.
Bentuk
1. Separuh terikat.
2. Terdapat lima rangkap.
3. Baris-baris ayat dan rima akhir.
· Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
· Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
· Rangkap 3 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya aaaa.
· Rangkap 4 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya aa.
· Rangkap 5 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya aaa.
Gaya Bahasa
Gaya Bahasa | Contoh |
1) Sinkope | tak. |
2) Anafora | kita merdeka. |
3) Bahasa istana | anakanda. |
4) Asonansi – pengulangan vokal ‘a | Pertahankanlah maruah kita. |
5) Aliterasi – pengulangan konsonan ‘t’ | Janganlah kita diam tak terkata. |
6) Epifora | kita. |
Nilai Murni
Nilai murni | Contoh |
1) Kebijaksanaan | Bijak dalam berkata-kata dan berhujah. |
2) Rasional | Sentiasa sedar jika ingin kehidupan lebih terbela, kita harus pandai berkata-kata. |
3) Tanggungjawab | Bertanggungjawab mempertahankan diri apabila dicerca. |
4) Keberanian | Berani mempertahankan diri dengan membalas kata-kata pihak lawan. |
Pengajaran
1) Kita hendaklah bijak berkata-kata dan berhujah.
2) Kita perlulah berani mempertahankan diri dengan membalas kata-kata pihak lawan.
3) Kita mestilah mempertahankan maruah diri kita apabila dihina.
4) Kita mestilah memelihara martabat bangsa dan kedaulatan negara kita.
Sungguh memuaslan bro!!!
ReplyDelete