Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman-Tingkatan 1


SYAIR
MAKSUD

Deli tua negerinya itu
Kotanya kukuh berpagar batu,
Rasarnya ramai bukan suatu,
Tiada berbanding di zaman itu.


Menceritakan kisah negeri Deli yang merupakan sebuah kota yang kukuh berpagar batu. Pasarnya sangat ramai pengunjung dan tiada tandingannya pada masa itu.

Baginda berputera tiga orang jua,
Laki-laki konon putera yang tua,
Puteri cantik putera kedua,
Parasnya elok jarang tersua.

Sultan negeri Deli mempunyai tiga orang putera. Putera yang pertama adalah lelaki manakala yang kedua adalah puteri yang  cantik dan tiada tandingannya pada masa itu.

Putera yang bongsu laki-laki jua,
Parasnya elok tiadalah dua,
Menarik hati orang semua,
Dikasihi rakyat muda dan tua.

Anak bongsu baginda seorang lelaki yang tampan dan menarik perhatian semua orang. Rakyat tidak kira tua mahupun muda sangat mengasihi putera baginda itu.

Adapun akan dulu baginda,
Isterinya lama sudah tiada,
Banyak dicari gadis dan janda,
Hati baginda penuju tiada.

Isteri sultan tersebut telah lama mangkat. Baginda cuba mencari pengganti tetapi tiada yang berkenan di hati baginda.

Beberapa lama demikian itu,
Di atas takhta konon sang ratu,
Dengan kehendak Tuhan yang satu,
Baginda pun gering suatu waktu.

Pada suatu masa, baginda gering. Itulah takdir yang terpaksa dihadapi oleh baginda.

Baginda nan gering bukan kepalang,
Badannya kurus tinggallah tulang,
Tabib pun selalu datang berulang,
Mengubati baginda raja terbilang.

Sakit baginda sangat teruk sehingga badan baginda kurus kering. Beberapa orang tabib telah dipanggil untuk mengubati baginda.

Tabib berusaha bersungguh hati,
Menolong baginda raja berbakti,
Sudahlah takdir Rabbulizzati,
Penyakit tak dapat lagi diubati.

Tabib berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menolong sultan yang telah banyak berbakti kepada rakyat. Walaubagaimanapun, penyakit baginda gagal diubati.

Pertolongan tabib tiada berfaedah,
Semakin payah sultan yang syahdah,
Ajal baginda hampirlah sudah,
Ke negeri yang baqa akan berpindah.

Pertolongan demi pertolongan diberikan oleh tabib tetapi tidak mendatangkan hasil. Ajal baginda hamper tiba.

Dengan hal yang demikian itu,
Penyakit menggoda setiap waktu,
Ubat pun tiada dapat membantu,
Baginda pun mangkat ketika itu.

Penyakit yang dihadapi oleh baginda tidak dapat diubati. Akhirnya baginda mangkat.

Baginda berpulang ke rahmatullah,
Takhta kebesaran semua tinggallah,
Harta dunia sudah terjumlah,
Kepada yang lain diberikan Allah.

Baginda meninggalkan takhta dan harta kekayaan. Pemerintahan dan kekayaan baginda akan berpindah kepada orang lain dan akan ditentukan Allah.


Tema
Kemangkatan sultan yang dikasihi oleh rakyat. Ini dapat dilihat apabila ramai tabib yang berusaha untuk menyembuhkan penyakit baginda tetapi baginda tidak dapat diselamatkan.


 Persoalan

1.
2.
3.
4.

Kebesaran sebuah negeri
Usaha menyelamatkan sultan yang gering
Kebesaran Tuhan
Keistimewaan anak-anak raja

Gaya Bahasa
Gaya Bahasa
Contoh

1.    Bahasa pinjaman
(bahas Arab)

Sudahlah takdir Rabbulizzati

2.    Personifikasi

Penyakit menggoda setiap waktu

3.    Sinkof

Penyakit tak dapat lagi diubati

4.    Inversi

Menarik hati orang semua


Unsur Bunyi


1.    Asonansi ( pengulangan huruf vokal)

Puteri cantik putera kedua
Ø  dalam baris sajak di atas, vokal “u” diulang sebanyak 3 kali

2.    Aliterasi

 Tabib berusaha bersungguh hati
Ø  dalam baris sajak di atas, konsonan “b” diulang sebanyak 4 kali


Nilai Murni

Tolong – menolong
Bukti: menolong baginda raja berbakti

Bertanggungjawab
Bukti: menolong baginda raja berbakti

Kesungguhan
Bukti : tabib berusaha bersungguh hati

Kesetiaan
Bukti : banyak dicari gadis dan janda, hati baginda penuju tiada.


Pengajaran

1.    Kita harus membantu orang yang memerlukan pertolongan dengan sebaik mungkin.
2.  Setiap pemimpin harus bertanggungjawab dengan melaksanakan tugas yang di amanahkan agar dapat berbakti kepada rakyat.
3.    Kita hendaklah setia dalam sesuatu hubungan.


4.    Kita perlu menerima ketentuan takdir dengan redha.

Comments

Popular posts from this blog

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Simple Essays