Syair Li-Attar Ghib-Tingkatan 3



Syair
Maksud
Wahai sayangnya akan saudara,
Sebab bersama-sama mengembara,
Tiada pernah muafakatnya cedera,
Segala pekerjaan segala perkara.
Kasih sayang tiga beradik, iaitu daing celak, daing parani dan daing merewah sentiasa utuh. Mereka sentiasa mengembara bersama. Mereka sentiasa berpakat dalam setiap urusan tanpa gagal.
Dengan kehendak tuhan yang mulia,
Dua orang saudara meninggalkan dunia,
Hendak disusahkan tiada berdaya,
Kerana perbuatan tuhan yang tersedia.
Takdir menentukan bahawa dua abang, iaitu daing parani dan daing merewah meninggal dunia, lalu tinggallah daing celak seorang diri. Daing celak hanya mampu pasrah (berserah, reda) justeru demikian ketentuan ilahi.
Melainkan hamba berbanyak sabar,
Akan perintah wahid al-khahar,
Ialah tuhan bersifat jabbar,
Akan hambanya kecil dan besar.
Sebagai hamba allah, manusia perlu bersabar kerana itulah perintah tuhan yang maha esa lagi perkasa, serta bersifat menguasai segala makhluk ciptaan-nya.
Kita pun kelak demikian itu,
Meninggalkan dunia juga yang tentu,
Tidak memilih raja dan ratu,
Semuanya itu pergi ke situ.
Semua manusia akan mengalami nasib yang serupa, iaitu akan mati. Tidak kira kedudukan, setiap manusia akan menuju kematian belaka.
Hendaklah kita tunduk tengadah,
Lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah,
Adil dan insaf jua berfaedah,
Menaikkan kita pangkat saadah.
Kita hendaklah sentiasa insaf dan mengambil ingatan terhadap kesudahan hidup generasi datuk nenek yang meninggalkan dunia yang sementara (pinjaman) ini supaya kita mengecapi kebahagiaan, iaitu suatu tahap kemuliaan dan kesejahteraan yang kita idamkan.
Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
Kesenangan hidupnya dikira-kira,
Istimewa pula sanak saudara,
Jangan sekali diberi cedera.


Para pemimpin hendaklah memastikan bahawa rakyat jelata menikmati kehidupan yang selesa. Keluarga terdekat juga hendaklah dijaga dan dibela supaya mereka tidak hidup sengsara.
Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
kerana ilmu mulia anbia,
tuntut ilmu jangan sia-sia,
Yang lain itu tinggal di dunia.
Manusia hendaklah memuliakan ilmu yang hak kerana ilmu yang mengangkat kedudukan para nabi (anbia). Ilmu hendaklah dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana ilmu (yang bermanfaat) menjadi bekalan akhirat sedangkan (kekayaan) yang lain akan ditinggalkan.
Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
 serta pandang amat-amatkan,
kematian datuk nenek teladankan,
Kita sepertinya akan didatangkan.

Penyair menggesa khalayak (pembaca) supaya berfikir dalam-dalam, membuat pemerhatian dan pengamatan tentang kesudahan datuk nenek yang sudah tiada lagi. Semua manusia (kita) akan mengalami kesudahan yang sama.

Tema
Mengambil iktibar daripada kematian. Hal ini kerana setiap insan di dunia ini perlu mengambil pengajaran apabila berlakunya kematian kerana setiap insan pasti akan melaluinya.

Persoalan
1)    Kasih sayang sesama keluarga
2)    Permuafakatan dalam menjalankan tugas.
3)    Kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi musibah dan cabaran hidup. 
4)    Keinsafan tentang kesudahan hidup di dunia.
5)    Kepekaan dan keprihatinan terhadap amanah kepimpinan.
6)    Kecekalan, kegigihan, kerajinan dan kesungguhan dalam pembelajaran.

Bentuk
1.    Mempunyai 8 rangkap.
2.    Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.
3.    Semua baris adalah maksud.
4.    Jumlah perkataan antara 4 hingga 6 perkataan sebaris           
Contoh: wahai sayangnya akan saudara (4 perkataan – rangkap 1)
Contoh: dengan kehendak Tuhan yang mulia (5 perkataan – rangkap 2)
Contoh: lihat kepada datuk nenek yang sudah-sudah (6 perkataan – rangkap 5)
5.    Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata sebaris
Contoh: ser/ta/ pan/dang/ a/mat/-a/mat/kan (9 suku kata – rangkap 8)
Contoh: li/hat/ ke/pa/da/ da/tuk/ ne/nek/ yang/ su/dah/-su/dah (14 suku kata – rangkap 5)
6.    Rima akhir ialah aaaa.
7.    Bentuk syair ialah terikat.

Gaya bahasa
Gaya bahasa
Contoh
1)   Asonansi - pengulangan vokal a
Sebab bersama-sama mengembara
2)   Aliterasi - pengulangan konsonan d
Hendaklah kita tunduk tengadah
3)   Repitisi - pengulangan perkataan
Segala dalam satu baris
Segala pekerjaan segala perkara
4)   Inversi - pembalikan kata
Kita sepertinya akan didatangkan sepatutnya kita akan didatangkan sepertinya.
5)   Diksi - penggunaan bahasa arab
Wahid al-khahar, anbia, jabbar, saadah.
6)   Diksi - penggunaan bahasa arkaik
Ayuhai.
7)   Kata ganda
Sudah-sudah, sia-sia, tuan-tuan, dikira-kira, bersama-sama.

Nilai murni
Nilai murni
Contoh
1)   Keinsafan.
Perasaan insaf sepatutnya lahir di jiwa apabila melihat kematian kerana setiap insan di dunia ini pasti akan merasainya.
Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
Serta pandang amat-amatkan,
Kematian datuk nenek teladan,
Kita sepertinya akan datangkan.
2)   Kerajinan
Mengamalkan sikap rajin dalam menuntut dan memuliakan ilmu seperti yang digalakkan oleh para nabi.
Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
Kerana ia muarinya anbia,
Tuntut ilmu jangan sia-sia,
Yang lain itu tinggal di dunia.
3)   Kesabaran.
Semua insan perlu bersabar apabila menghadapi musibah atau kesusahan kerana sebagai hamba kita wajib pasrah pada ketentuan-nya.
Melainkan hamba berbanyak sabar,
Akan perintah wahid al-khahar,
Ialah tuhan bersifat jabbar,
Akan hambanya kecil dan besar.

Pengajaran
1)    Kita hendaklah mengasihi dan menyayangi keluarga
2)    Kita hendaklah bermuafakat dan bekerjasama dalam sesuatu pekerjaan, usaha , urusan atau tugas.
3)    Kita hendaklah insaf tentang kesudahan hidup di dunia iaitu  kematian.
4)    Kita hendaklah peka dan prihatin terhadap amanah kepimpinan

5)    Kita hendaklah cekal, gigih, dan rajin bersungguh-sungguh dalam pembelajaran.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Simple Essays