Sajak Ketenangan-Tingkatan 2



Sajak (Sumber Buku Teks KOMSAS Antologi Gema Sepi Gadis Genius)
Maksud
Aku terus berjalan
tanpa menghiraukan rintangan
cabaran yang menghalang
air mataku menitis
jiwaku meraba
hatiku terseksa
mencari ketenangan jiwa.

Penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam dirinya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan kesusahan.

Ketenangan
kini kutemuimu
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang.

Penyajak telah menemui ketenangan yang dicari-cari sehingga kesepian yang dialami selama ini diganti dengan kegembiraan dan sesuatu yang kabur menjadi jelas.


Kini kusedari
bahawa ketenangan
bukan datangnya
dari kesenangan
kekayaan dan kemewahan.


Kini penyajak sedar bahawa setiap ketenangan dalam diri seseorang bukan diperoleh dengan cara mencapai kekayaan dan kemewahan hidup.


Berilmu dan beriman
di situ ia datang
menjadi jiwaku tenteram
apabila aku mendekati-Nya.

Penyajak menjelaskan bahawa ketenangan sebenarnya dapat dicapai dengan cara memantapkan ilmu dalam diri dan menguatkan keimanan terhadap tuhan.  Keadaan ini menjadikan jiwa penyajak tenang apabila mengamalkan kedua-dua perkara tersebut.



Gambar sekadar hiasan
"Indahnya alam ciptaan Tuhan, luas terbentang saujana mata memandang."

Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang ketabahan hati seseorang mencari ketenangan dalam hidup – Penyajak berusaha mencari ketenangan dalam hidupnya sehingga beliau berjaya menemuinya.

Persoalan:
·         Kegigihan bagi mendapatkan sesuatu yang diinginkan – penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya walaupun menghadapi pelbagai dugaan.
·         Dapat menghilangkan segala kesepian dan kedukaan dalam hidup – masalah kesepian dan kesedihan penyajak berjaya diatasi apabila beliau menemui ketenangan hidup.
·         Kemewahan dan kekayaan hidup tidak menjanjikan ketenangan dalam hidup seseorang.
·         Menuntut ilmu dan meneguhkan keimanan terhadap tuhan merupakan jalan terbaik bagi mencapai ketenangan.



Bentuk:
·         Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
·         Rima akhir adalah bebas.
·         Jumlah baris serangkap bebas
Contoh:
Rangkap 1- tujuh baris,
Rangkap 2 – empat baris dan sebagainya.
·         Jumlah perkataan dalam satu baris antara satu hingga empat patah kata.
·         Jumlah suku kata dalam satu baris antara empat hingga sepuluh suku kata.


Gaya Bahasa
Contoh
Personafikasi
jiwaku meraba (R1,B5)
Sinkope
kini kutemuimu (R2,B2)
Anafora
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang. (R2,B3 – 4)
Responsi
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang. (R2,B3 – 4)

Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
Kini kusedari (R3,B1)
Aliterasi
kekayaan dan kemewahan. (R3,B5)



Nada:Nada sajak ini ialah romantis.


Nilai:
·        Kegigihan   : Penyajak gigih berusaha untuk mencari ketenangan diri.
·        Ketabahan  : Penyajak tabah menghadapi segala cabaran dan kesusahan dalam usaha mencari ketenangan dalam dirinya.


Pengajaran:

·         Kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan – penyajak berusaha untuk mencari ketenangan dalam hidupnya.
·         Kita hendaklah meneguhkan keimanan kita kepada tuhan untuk mendapat ketenangan – penyajak berjaya menemui ketenangan yang dicarinya dengan cara meneguhkan keimanan kepada tuhan.
·         Kita hendaklah sedar bahawa kemewahan dan kekayaan mampu memberi segala keinginan kita – ketenangan diri tidak dapat dicapai dengan kemewahan hidup.
·         Kita hendaklah sentiasa menuntut ilmu walau di mana sahaja kita berada.

Comments

Popular posts from this blog

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Simple Essays