Sajak Hari Guru-Tingkatan 2

Analisis Sajak Hari Guru

Sajak (Sumber Buku Teks KOMSAS : Antologi Gema Sepi Gadis Genius)
Maksud

i

Hari ini
adalah hari kita
menjunjung amanah
sandaran harapan insan berjuta
yang bernama ibu dan bapa
memikul misi murni
mengasuh mendidik
tunas bangsa
       harapan nusa.




Semasa sambutan Hari Guru, para guru bertekad menunaikan amanah dan harapan para ibu bapa untuk melaksanakan tugas mendidik anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.


ii

Hari ini
adalah hari yang menuntut kita
bertafakur
apakah tiang azam
masih tegak kukuh
apakah perdu semangat
tak tergoncang ribut
ataukah langkah kita
sudah pincang tertusuk
duri-duri duga?




Sambutan Hari Guru merupakan hari para guru bermuhasabah diri tentang tanggungjawab dan keazaman mereka sama ada masih lagi kukuh  atau telah hilang kerana pelbagai dugaan.


iii

Hari ini
ada bunga dikalungkan
ada puji dilafazkan
ada jasa dikenang
ada salam dihulur
tanda hormat;
       pada insan yang bergelar GURU.



Hari guru merupakan hari para guru menerima penghormatan dan penghargaan kerana jasa-jasa mereka.




Tema

Sajak ini mengemukakan tema tentang penghargaan kepada para guru melalui sambutan Hari Guru.


Persoalan


1.    Peranan guru mendidik anak bangsa.
2.    Melaksanakan tugas yang diamanahkan
 kepada kita.
3.    Kesedaran tentang tugas dan
tanggungjawab yang dipikul.
4.    Tugas  guru yang sentiasa dikenang dan
 dihargai.




Bentuk

Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
Rima akhir bebas.
Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.
Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.
Jumlah baris serangkap adalah bebas
          Contohnya :
          Rangkap 1 – ada sembilan baris.
          Rangkap 2 – ada sepuluh baris.
                        Rangkap 3 – ada tujuh baris.



Gaya Bahasa
Contoh
Personafikasi
adalah hari yang menuntut kita (R2,B2)
Metafora
apakah tiang azam (R2,B4)
Sinkope
tak tergoncang ribut (R2,B7)
Anafora
ada bunga dikalungkan
ada puji dilafazkan
ada jasa dikenang
ada salam dihulur (R3,B2 – 5)
Pengulangan Kata
Hari ini (R1 – 3, B1)
Kata Ganda
duri-duri duga? (R2,B10)


Unsur Bunyi
Contoh
Asonansi
adalah hari kita (R1,B2)
Aliterasi
sandaran harapan insan berjuta (R1,B4)

Nada

Nada sajak ini patriotik.




Nilai

Amanah: Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
Tanggungjawab: Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.
Penghargaan terhadap orang yang berjasa: Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.
Kesedaran: Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.



Pengajaran:
  1. Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
  2. Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik (guru) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita. Contohnya, sambutan hari guru merupakan salah satu cara yang dilakukan bagi menghargai para pendidik.
  3. Para guru hendaklah sedar peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
  4. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita. 

Comments

Popular posts from this blog

Syair Berbuat Jasa-Tingkatan 3

Sains Bab 4-Tingkatan 3

Simple Essays